Alih bahasa

Rabu, 24 April 2013

Teori Membaca



Terdapat beberapa teori atau model membaca yang dapat membantu pembaca memahami proses membaca. Teori-teori ini dapat menggambarkan proses membaca samada pada peringkat rendah mahupun pada tahap yang lebih tinggi. Wakzyk (2000) menghuraikan proses membaca secara automatik dan kawalan seperti dihuraikan seperti di bawah :

a)   Teori Membaca Secara Automatik
La Berger dan Samuel (1974) mengatakan teori membaca adalah secara automatic. Teori ini menganggap wujudnya perkembangan dalam penguasaan kemahiran membaca secara automatik. Di samping itu, model ini juga menganggap wujudnya perbezaan antara proses bersifat automatik dan proses kawalan ketika membaca. Sub kompenan dalam kemahiran membaca seperti mengecam huruf dan seterusnya mengecam perkataan dikuasai secara automatik melalui latihan. Oleh itu, sumber-sumber ini diperlukan bagi membantu menguasai kemahiran asas membaca.
Sehubungan dengan itu, model ini meramalkan hubungan yang positif antara kemahiran pemahaman membaca teks secara automatik dengan latihan yang dijalankan. Pembaca yang mempunyai lebih kemahiran membaca secara automatik berupaya mengawal teks serta mempunyai lebih sumber dan lebih faham. Oleh itu, ketika membaca teks, pemabaca perlu menekankan pengawalan eksekutif supaya dapat membantu pembaca memahami teks dengan lebih berkesan.

b)     Teori Kecekapan Verbal
Perfetti (1985, 1988) memperkenalkan teori yang penting dalam kemahiran membaca iaitu teori kecekapan verbal yang menekankan kemahiran membaca dengan meluaskannya melangkaui proses mentafsirkan kod. Selain daripada ciri automatik dalam menguasai bahasa, aspek lain yang berkaitan dengannya adalah resolusi anafora, membuat kenyataan atau cadangan secara bersepadu, aktiviti yang berkaitan dengan ingatan dan strategi meta kognitif yang digunakan.
Berdasarkan teori ini, setiap pembaca mempunyai profil yang tersendiri bagi tujuan menguasai kecekapan verbal. Seseorang pembaca akan bertambah efisien dalam kecekapan verbal, bermakna lebih banyak perhatian dan sumber ingatan bagi rujukan. Selain daripada itu, teori ini berdasarkan kapasiti tanggapan bagi sesuatu pemerhatian yang merujuk kepada perhatian dan sumber ingatan yang terhad yang terdapat dalam diri pembaca (Benjafield, 1997). Teori ini juga membincangkan sejauh mana sesuatu sub kompenan berhubung dengan pemahaman. Pembaca yang tidak cekap selalunya lebih mudah lupa perkara yang sudah dibacanya. Bagi pembaca yang tidak cekap dalam membaca juga adalah disebabkan oleh skemata yang terhad. Bagi pembaca yang kekurangan pengetahuan apabila berkaitan dengan teks yang dibaca juga akan menyukarkan pembaca memahami kandungan teks.

c)        Teori Memindahkan Maklumat
Teori yang berasaskan pandangan La Berge dan Samuel (1985) dan Gough (1985) ini dipengaruhi oleh psikologi kognitif dan bertanggungjawab secara meluas menyatakan aktiviti membaca adalah proses memindahkan maklumat. Mereka mengandaikan membaca sebagai proses mengenali huruf demi huruf dan perkataan demi perkataan. Mereka juga percaya pembaca berinteraksi dengan teks untuk tujuan mendapatkan makna daripada muka surat yang dibaca kepada pemikirannya. Bagi melakukannya, pembaca memerluakn kemahiran khusus yang membolehkan mereka melakukan proses pemindahan tersebut.
Teori ini berpendapat, aktiviti membaca bertujuan membentuk peningkatan kebolehan pembaca memindahkan maklumat daripada teks. Pembaca yang baik, efisien ketika memindahkan maklumat manakala pembaca yang lemah tidak dapat melakukannya sedemikian rupa. Kemahiran ini selalunya dibina dengan memberikan pelajar petikan ringkas dan diikuti dengan beberapa soalan yang khusus yang menumpukan kepada beberapa kemahiran membaca bagi kefahaman seperti membuat kesimpulan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

http://onlynurul.blogspot.com/