Terdapat
beberapa teori atau model membaca yang dapat membantu pembaca memahami proses
membaca. Teori-teori ini dapat menggambarkan proses membaca samada pada
peringkat rendah mahupun pada tahap yang lebih tinggi. Wakzyk (2000)
menghuraikan proses membaca secara automatik dan kawalan seperti dihuraikan
seperti di bawah :
a) Teori Membaca Secara Automatik
La
Berger dan Samuel (1974) mengatakan teori membaca adalah secara automatic.
Teori ini menganggap wujudnya perkembangan dalam penguasaan kemahiran membaca
secara automatik. Di samping itu, model ini juga menganggap wujudnya perbezaan
antara proses bersifat automatik dan proses kawalan ketika membaca. Sub
kompenan dalam kemahiran membaca seperti mengecam huruf dan seterusnya mengecam
perkataan dikuasai secara automatik melalui latihan. Oleh itu, sumber-sumber
ini diperlukan bagi membantu menguasai kemahiran asas membaca.
Sehubungan
dengan itu, model ini meramalkan hubungan yang positif antara kemahiran
pemahaman membaca teks secara automatik dengan latihan yang dijalankan. Pembaca
yang mempunyai lebih kemahiran membaca secara automatik berupaya mengawal teks
serta mempunyai lebih sumber dan lebih faham. Oleh itu, ketika membaca teks,
pemabaca perlu menekankan pengawalan eksekutif supaya dapat membantu pembaca
memahami teks dengan lebih berkesan.
b) Teori Kecekapan Verbal
Perfetti
(1985, 1988) memperkenalkan teori yang penting dalam kemahiran membaca iaitu
teori kecekapan verbal yang menekankan kemahiran membaca dengan meluaskannya
melangkaui proses mentafsirkan kod. Selain daripada ciri automatik dalam
menguasai bahasa, aspek lain yang berkaitan dengannya adalah resolusi anafora,
membuat kenyataan atau cadangan secara bersepadu, aktiviti yang berkaitan
dengan ingatan dan strategi meta kognitif yang digunakan.
Berdasarkan
teori ini, setiap pembaca mempunyai profil yang tersendiri bagi tujuan
menguasai kecekapan verbal. Seseorang pembaca akan bertambah efisien dalam
kecekapan verbal, bermakna lebih banyak perhatian dan sumber ingatan bagi
rujukan. Selain daripada itu, teori ini berdasarkan kapasiti tanggapan bagi
sesuatu pemerhatian yang merujuk kepada perhatian dan sumber ingatan yang
terhad yang terdapat dalam diri pembaca (Benjafield, 1997). Teori ini juga
membincangkan sejauh mana sesuatu sub kompenan berhubung dengan pemahaman.
Pembaca yang tidak cekap selalunya lebih mudah lupa perkara yang sudah
dibacanya. Bagi pembaca yang tidak cekap dalam membaca juga adalah disebabkan
oleh skemata yang terhad. Bagi pembaca yang kekurangan pengetahuan apabila
berkaitan dengan teks yang dibaca juga akan menyukarkan pembaca memahami
kandungan teks.
c) Teori Memindahkan Maklumat
Teori
yang berasaskan pandangan La Berge dan Samuel (1985) dan Gough (1985) ini
dipengaruhi oleh psikologi kognitif dan bertanggungjawab secara meluas
menyatakan aktiviti membaca adalah proses memindahkan maklumat. Mereka
mengandaikan membaca sebagai proses mengenali huruf demi huruf dan perkataan
demi perkataan. Mereka juga percaya pembaca berinteraksi dengan teks untuk
tujuan mendapatkan makna daripada muka surat yang dibaca kepada pemikirannya.
Bagi melakukannya, pembaca memerluakn kemahiran khusus yang membolehkan mereka
melakukan proses pemindahan tersebut.
Teori
ini berpendapat, aktiviti membaca bertujuan membentuk peningkatan kebolehan
pembaca memindahkan maklumat daripada teks. Pembaca yang baik, efisien ketika
memindahkan maklumat manakala pembaca yang lemah tidak dapat melakukannya
sedemikian rupa. Kemahiran ini selalunya dibina dengan memberikan pelajar
petikan ringkas dan diikuti dengan beberapa soalan yang khusus yang menumpukan
kepada beberapa kemahiran membaca bagi kefahaman seperti membuat kesimpulan.