Definisi
Membaca
Kemahiran
membaca merupakan satu kemahiran bahasa yang penting. Melalui pembacaan
seseorang itu boleh menerokai alam ilmu pengetahuan yang tidak dapat
ditempuhinya melalui pengalaman-pengalaman biasa yang lain. Pembacaan dapat
membawa seseorang itu ke alam imaginasi, di luar daripada situasi kehidupan
yang dilaluinya sehari-hari. Pembacaan juga boleh membuka dan memperluaskan
pemikiran dan pengetahuan seseorang dalam pelbagai bidang. Oleh itu, kemahiran
ini haruslah ditanamkan sedalam-dalamnya kepada murid-murid sejak dari awal
lagi supaya ianya dapat dipupuk dan disuburkan dengan sebaik mungkin. Ramai
ahli-ahli sarjana telah mengemukakan pandangan mereka terhadap konsep membaca
ini. Menurut Kenedy (1981) telah mendefinisikan bahawa bacaan sebagai keupayaan
seseorang untuk mengecam bentuk visual (lambang-lambang grafik yang mewakili
bahasa atau perkataan), menghubungkan bentuk itu dengan bunyi atau makna yang
telah diketahui dan seterusnya berasaskan pengalaman lalu, memahami dan
mentafsirkan maksudnya.
Menurut
Marohaini Yusoff (1989), telah merumuskan bahawa proses membaca sebagai
perlakuan yang kompleks dan tidak dapat diperhatikan. Hanya dua komponen
kemahiran utama yang dipersetujui wujud dalam kemahiran membaca iaitu kemahiran
mengenal atau mengecam perkataan dan kemahiran memahami apa yang dibaca. Tokoh
Haris dan Sipay (1980) telah menyatakan proses membaca sebagai proses untuk
memperoleh tafsiran yang bermakna tentang lambang-lambang berbentuk atau
bertulis. Membaca melibatkan kebolehan mengenal lambang-lambang itu semula
kepada bunyi bahasa dan memahami makna atau tanggapan yang disampaikan oleh
tulisan itu (Atan Long). Apabila membaca seseorang itu bukan sahaja boleh
mengenal dan menyebut lambang-lambang bertulis tetapi juga dia mesti mempunyai
satu tanggapan bagi memudahkan fahamannya. Bamberger pula mentakrifkan membaca
adalah satu proses yang mengubahkan simbol-simbol grafik (tulisan) kepada
konsep-konsep intelektual dan proses ini memerlukan daya mental.
Daripada
definisi-definisi yang dikemukakan oleh para sarjana ini dapatlah kita ketahui
bahawa membaca bukanlah satu proses yang mudah sebaliknya adalah gabungan
beberapa proses yang kompleks. Membaca telah mengabungkan beberapa kemahiran,
iaitu kemahiran pengamatan penglihatan yang diskriminatif ( untuk mengenal dan
membezakan bentuk-bentuk huruf), kemahiran mengingat, mendengar dan membezakan
bunyi dengan tepat dan jelas, menyebut bunyi-bunyi tersebut untuk membentuk
perkataan dan berkebolehan untuk memindahkan lambang-lambang yang dibacanya itu
kepada sistem saraf pusat (otak) untuk menterjemah dan memahami apa yang
dibacanya. Tegasnya membaca memerlukan gabungan dua kemahiran, iaitu kemahiran
kognitif dan mekanis dan sebelum seseorang itu belajar membaca.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan